• ABDUL HADI AWANG ABDUL HADI AWANG
1 / 1
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama sekali tidak akan melarang mana-mana pihak dalam Pas yang ingin menubuhkan parti baharu.

Abdul Hadi berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan amalan demokrasi berparlimen, penubuhan parti baharu adalah perkara biasa dan dibenarkan.

"Penubuhan parti baharu, ini perkara biasa dalam negara demokrasi berparlimen.
“...siapa-siapa yang nak tubuh parti, sila tubuh," ujarnya ketika menjawab soalan peserta Majlis Dialog dan Penjelasan Isu Terkini Bersama Presiden Pas di Dewan Tok Guru, Rusila, semalam yang bertanyakan mengenai dakwaan wujud parti baharu, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).
 
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, adalah lebih baik individu yang tidak berpuas hati di dalam Pas untuk meninggalkan parti itu.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam Pas ini, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," dakwanya lagi.

Bagi mengulas isu ini, Hadi mengambil satu perumpamaan untuk mengambarkan situasi ini, di mana katanya 'seekor nyamuk yang berada di dalam kelambu boleh menggangu tidur kita'.

"Kalau duduk dalam, kalau ada nyamuk seekor tak jenera (lena) tidur kita pun, itu dia, senang nak tubuh parti, sila," katanya.