• Tan Sri Abu Zahar Ujang Tan Sri Abu Zahar Ujang
1 / 2
TUMPAT - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang meminta pemimpin dan penyokong parti-parti politik supaya menghormati Perlembagaan negara bagi mengelak sebarang konflik sesama rakyat.
 
Beliau berkata para pemimpin politik sepatutnya lebih arif mengenai perkara itu kerana Perlembagaan negara bertujuan memelihara keamanan dan  kesejahteraan rakyat.
 
"Sekarang, banyak pihak semakin berani mempertikai peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan negara seperti isu agama, bahasa, bangsa bahkan institusi diraja juga diperlekehkan," katanya kepada pemberita dalam program Cinta Negara di sini, hari ini.
 
Program Cinta Negara anjuran Majlis Senator Malaysia dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) turut disertai lebih seratus anggota Persatuan Tinju Tomoi Tumpat, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia dan remaja di kawasan Pengkalan Kubor.
 
Abu Zahar berkata kerajaan harus mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk tindakan yang menggugat Perlembagaan negara.
 
PRK Dun Pangkalan Kubor akan diadakan pada 25 September ini ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos  lepas.
 
PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mat Razi Mat Ail, calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary. - Bernama