1 / 1
BATU PAHAT - Dewan Ulama Pas menasihatkan agar Pas menerima kerusi Menteri Besar Selangor sekiranya istana memilih Adun parti itu untuk menyandang jawatan nombor satu di negeri itu.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, Pas tidak sepatutnya bermusuh dengan istana apabila menolak keputusan istana itu.

"Dewan Ulama mencadangkan supaya kita terima apa jua keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Selangor.

"Kalau diberi kepada PKR, Pas kena terima dan kalau tuanku beri kepada Pas, maka kita juga kena terima.

"Buat apa kita nak cari musuh lagi? Umno dah bermusuh, nak bermusuh dengan istana pulak. Itu pandangan saya yang cetek ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Pas ke-60, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berpendapat Presiden tidak perlu mengikut keputusan mesyuarat ekoran Presiden itu memiliki kuasa pemutus bagi keadaan tertentu.

"Persoalan yang timbul dalam keputusan mesyuarat, sama ada ketua perlu ikut keputusan mesyuarat atau tidak, ada dua pandangan oleh ulama-ulama Islam iaitu perlu ikut dan tak perlu ikut.

"Setelah saya mengkaji kedua-dua pandangan, mengikut ijtihad saya yang cetek dan mengikut masa kini. Saya berpendapat bahawa ketua tak perlu ikut keputusan mesyuarat," katanya.

Beliau turut berpendapat, tiada peruntukan dalam perlembagaan parti yang menyebut bahawa Presiden perlu menuruti keputusan mesyuarat.

"Saya kaji dan baca, tidak ada pun peruntukan yang mewajibkan seorang Presiden, mesti ikut keputusan mesyuarat. Tapi dalam keadaan tertentu ketua mempunyai kuasa pemutus.

"Tapi saya juga tidak menafikan mesyuarat itu penting bagi mendengar pandangan-pandangan ahli-ahlinya," katanya.