• Muktamar
1 / 1
BATU PAHAT - Pas hanya  mengeruhkan lagi keadaan  politik di Selangor  sekiranya mahu menerima  jawatan menteri besar negeri itu, kata Pengerusi Lajnah Undang-Undang  dan Hak Asasi Manusia (Luham), Mohamed Hanipa Maidin.

Peringatan itu diberikan Hanipa dengan tegas kerana bimbang parti itu akan hilang sokongan rakan komponen dalam PR kerana mengingkari janji.

"Kita sudah berjanji kerusi itu milik PKR. Jika  diteruskan  tanpa sokongan DAP dan PKR, bagaimana Pas mahu  menjadi menteri besar yang kuat, " soalnya.

Hanipa berkata, Pas juga tidak boleh lari daripada tuduhan memungkiri  janji kerana kenyataan secara terbuka  sebelum ini, Pas tidak akan menerima jawatan itu.

"Jika kita boleh menangani hal itu, tiada  masalah, silalah terima," katanya.

Bagaimanapun, jelas Hanipa tindakan itu akan membuka ruang kepada pilihan raya negeri.

"Bagaimana kita mahu menjadi menteri besar  tanpa sokongan majoriti dan membentuk  kerajaan.

"Ketika itu  kerajaan mungkin  dicabar dan tidak mustahil akan mengalami masalah berakhir dengan perkara yang kita tidak suka iaitu akan berlakunya  pilihan  raya," katanya.

Dari sudut perundangan, Hanipa juga mempersoalkan  kerajaan yang bakal dibentuk itu akan kuat atau sebaliknya.

"Saya nak katakan kita  buat keputusan bukan berdasarkan takbir dan teriakan

"Kita  buat keputusan berdasarkan  prinsip yang rasional dengan mengambil  kira permasalahan  dan memahami isu," ujarnya lagi.

Ekoran pandangannya  itu, segelintir pemerhati yang hadir kecoh seketika, namun berjaya ditenangkan oleh Pengerusi Tetap Muktamar Pas, Hussein Ismail.

Pas sebelum ini , telah membuat ketetapan tidak akan menuntut kerusi Menteri Besar Selangor.