• Isu MB Selangor
1 / 1
SHAH ALAM - Istana Selangor hanya akan mengumumkan nama menteri besar Selangor yang baharu pagi esok pada hari majlis mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri itu dijadual berlangsung.
  
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata ini kerana Sultan Sharafuddin Idris Shah masih belum memberi perkenan untuk pihaknya mengumumkan perkara itu hari ini.
  
"Maaf, Tuanku belum berkenan lagi untuk buat 'statement' (kenyataan) hari ini. Pengumuman dan kenyataan akhbar akan dibuat esok pagi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Nama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamad Azmin Ali, Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi disebut-sebut sebagai calon bagi mengisi jawatan menteri besar Selangor ke-15 itu.
  
Jumaat lepas, Istana Selangor dilapor akan mengumumkan nama menteri besar yang baharu selewat-lewatnya hari ini bergantung kepada perkenan Sultan Sharafuddin.
  
Mohamad Munir dilaporkan berkata pengumuman akan dibuat sama ada menerusi kenyataan akhbar atau sidang media.
  
Majlis angkat sumpah menteri besar Selangor yang baharu dijadual diadakan di Istana Alam Shah, Klang, pada 10 pagi esok.  - Bernama