• Azmin Ali Azmin Ali
1 / 1
PETALING JAYA - PKR mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkembangan terkini berkaitan perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Timbalan Presidennya, Azmin Ali berkata, mesyuarat itu bakal dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, mesyuarat yang dijangka bermula jam 5 petang itu akan turut disertai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita akan adakan mesyuarat tergempar pukul 5 petang yang akan dipengerusikan oleh Presiden, ( Dr Wan Azizah), Ketua Umum ( Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengenai perkembangan terkini...," katanya kepada para pemberita di luar ibu pejabat PKR di sini tadi.

Ditanya adakah perkembangan terkini melibatkan isu menteri besar Selangor, Azmin berkata: "Ya, ya, ya."

Azmin berkata demikian selepas kembali semula ke ibu pejabat PKR selepas 40 minit beredar, pada jam 4 petang.

Pada jam 5 30 petang Anwar dan Azizah tiba di perkarangan ibu pejabat PKR.

Antara yang dilihat hadir memasuki ibu pejabat PKR ialah Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua,  Shamsul Iskandar Mohd Akin serta Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa Adun Selangor.

Terdahulu, Azmin menegaskan bahawa beliau masih belum menerima sebarang surat berhubung perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Spekulasi bahawa Azmin bakal menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertiup kencang apabila Pas menamakan Adun Bukit Antarabangsa itu sebagai calon mereka.

Majlis angkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan di Istana Alam Shah pada pagi Selasa.