• Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin
1 / 1
SHAH ALAM - Penggantungan dua Adun Pas di Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) daripada keahlian Pas hanya akan merugikan parti itu memandangkan mereka merupakan pemimpin yang berpengaruh di negeri itu.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, kedua-dua Adun Pas yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu bagaimana dijangka tidak akan menyertai mana-mana pertubuhan lain termasuklah PKR dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

"Mereka masih dalam wadah perjuangan Pas, cuma cara mereka berbeza iaitu berpendapat bahawa apa yang dilakukan adalah untuk menyelamatkan Selangor daripada terus berkecamuk dengan kes-kes itu.

"Mereka masih lagi bersifat untuk menyelamatkan keadaan, pandangan mereka adalah lebih baik mengutamakan pentadbiran negeri.

"Saya fikir lepas habis tempoh mereka akan membuat rayuan untuk kembali kepada parti sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian mengulas penggantungan dua Adun Pas di Selangor iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Burhanuddin (Morib) selama setahun kerana menyokong Wan Azizah secara Akuan Bersumpah sebagai calon menteri besar Selangor serta mendahului keputusan parti.

Mengulas lanjut, Ismail menambah, beliau tidak menafikan tindakan tegas Pas itu sama ada menggantung atau memecat mana-mana ahli yang menidakkan disiplin parti adalah untuk meredakan pergolakan dan mengurangkan krisis dalaman parti itu.

"Tindakan tegas seperti pemecatan bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hanya merugikan Pas kerana mereka ini pemimpin yang mempunyai jawatan dan merupakan orang yang ada pengaruh.

"Saya fikir bahawa Pas melihat mereka sebagai aset kepada Pas Selangor, rugi bagi Pas, penggantungan itu untuk menyelamatkan negeri dan bukan parti.

"Tapi fikir kalau mereka lompat parti mereka masih dalam parti komponen PR mungkin kepada PKR," katanya lagi.