• Salahuddin Ayub Salahuddin Ayub
1 / 1
SHAH ALAM – Cakap-cakap mengenai pengunduran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya ditimbulkan oleh pihak luar parti.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, ada pihak luar yang sengaja mewujudkan saranan supaya Abdul Hadi berundur daripada politik dengan alasan tidak hadir mesyuarat dalaman parti dan PR.

"Ini hanya di luar. Dalam parti, semua pemimpin dan ahli Pas tidak pernah mempersoalkan ketidakhadiran presiden dalam mesyuarat kerana mengetahui tahap kesihatan beliau yang tidak menentu pada masa ini," katanya.

Salahuddin berkata, ketidakhadiran mesyuarat  bagi seseorang pemimpin adalah perkara biasa terutama apabila menghadapi masalah kesihatan.

"Mengapa perlu sampai nak kena undur hanya kerana tak hadir beberapa mesyuarat?" katanya lagi.

Mengenai keperluan untuk menukar presiden berikutan keadaan kesihatan Abdul Hadi sekarang, Salahuddin berkata, Pas mempunyai saluran tersendiri untuk menyelesaikannya.

“Apa pun yang presiden katakan, kita ada saluran yang tersendiri yang membolehkan kita terus stabil dan harmoni iaitu muktamar.

“Jadi, Pas tidak perlu gusar dengan apa yang berlaku di luar kerana kita ada cara sendiri mengurus dan menentukan kepimpinan,” katanya.

Katanya, Pas masih bergerak seperti biasa dan menafikan kini berdepan krisis dalaman berikutan terdapat pihak yang mahu Abdul Hadi berundur sebagai presiden.