• Balai polis Manjoi. Balai polis Manjoi.
1 / 1
MANJOI - Anggota Balai Polis Manjoi, di sini semalam gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman secara tiba-tiba meluru masuk ke pekarangan balai dan menjerit supaya diberikan sepucuk pistol.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 petang itu, lelaki berusia 42 tahun yang juga merupakan bekas guru itu dikatakan mengamuk dan mengugut seorang anggota wanita yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan sambil memegang parang panjang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek yang memegang parang sepanjang 0.6 meter bertindak menghayun senjata itu ke anggota wanita terbabit.

“Empat anggota MPV bertindak mengepung balai dan suspek melepaskan parang yang dipegangnya selepas dipujuk salah seorang anggota.

“Setelah beberapa minit, suspek berjaya ditangkap walaupun berlaku sedikit pergelutan,” katanya.

Chang Keong berkata, hasil siasatan mendapati suspek merupakan bekas guru sekolah menengah berhampiran telah bercuti tanpa gaji selama setahun kerana disyaki menghadapi masalah mental.

“Lelaki berkenaan telah bercerai dengan isterinya sejak dua minggu lalu dan mempunyai empat orang anak. Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Suspek sekarang direman dan dihantar untuk pemeriksaan doktor. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya.