• Lima individu yang didakwa terhadap pertuduhan mengembangkan kepercayaan agama yang dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim@Abraham, (dari kiri) Johan Haruna, Mahamad Azhari Tajudin, Anuar Zainal, Liliwati Eden, dan Kamalia Mohamed Taib. - Foto Bernama Lima individu yang didakwa terhadap pertuduhan mengembangkan kepercayaan agama yang dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim@Abraham, (dari kiri) Johan Haruna, Mahamad Azhari Tajudin, Anuar Zainal, Liliwati Eden, dan Kamalia Mohamed Taib. - Foto Bernama
1 / 1
KUALA LUMPUR - Lima daripada 14 individu, yang didakwa terhadap pertuduhan mengembangkan kepercayaan agama yang dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim@Abraham, terpaksa bermalam di penjara selama lima hari kerana ketidakhadiran tertuduh yang lain tanpa sebab munasabah.

Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Ibrahim Deris memerintahkan Johan Haruna, 40; Mahamad Azhari Tajudin, 43; dan isterinya, yang sarat mengandung, Liliwati Eden, 36; Anuar Zainal, 47; dan Kamalia Mohamed Taib, 34; ditahan di penjara bermula hari ini sehingga tarikh sebutan semula kes itu pada 10 November ini. 

"Oleh kerana ketidakhadiran tertuduh yang lain tanpa sebab munasabah, ia telah memberi kesan kepada pihak pendakwaan dan  mahkamah, oleh itu kamu ditahan di penjara sehingga 10 November ini," katanya. 

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Syarie Kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Zainor Rashid Hassin memohon supaya kelima-lima tertuduh ditahan di penjara bagi tempoh 14 hari atau sehingga hari perbicaraan kerana kegagalan tertuduh yang lain hadir selepas dibebaskan dengan jaminan pada 21 Oktober lepas. 

"Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana membabitkan kesalahan berhubung akidah. Tertuduh diberi peluang (lepas) dengan ikat jamin yang munasabah tetapi mereka tidak mematuhi ikat janji tersebut," katanya. 

Ibrahim turut memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh yang tidak hadir iaitu Zakaria Mat Kasa, 35; Kamarudin Annuar, 48; Mohd Arif Abd Aziz, 33; Amirol Hafiz Mohd Samad, 24; Aizul Farikh Zainal Abidin, 39; Mohamad Harizal Kamaruddin, 36; dan Nur Ridah Osman, 26. Beliau berkata, pelaksanaan waran tangkap itu dilakukan oleh pihak polis dan penguat kuasa Jawi.  

Bagi tertuduh Heffy Syamsuar, 32; dan Abdul Azim Abdullah, 29; yang juga tidak hadir pada prosiding hari ini tetapi diwakili penjamin masing-masing, Ibrahim memerintahkan mereka hadir pada tarikh sebutan semula kes itu.

Kesemua tertuduh, yang ditahan dalam serbuan pada 20 Oktober lepas, atas maklumat terdapat kumpulan yang mengembangkan ajaran agama berunsur campuran antara agama Islam, Kristian dan Yahudi, tidak diwakili peguam. - Bernama