• Dakwaan berkaitan kejadian pukau guru yang tersebar dalam WhatsApp, semalam. Dakwaan berkaitan kejadian pukau guru yang tersebar dalam WhatsApp, semalam.
1 / 1
Auta

Heboh tersebar dalam laman sosial Facebook dan WhatsApp, semalam berkaitan kejadian guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya yang ditipu beribu-ribu ringgit oleh seorang lelaki.

Laman Facebook yang tersebar menyatakan individu berbangsa Arab itu masuk ke sekolah untuk mempromosi khidmat perubatan homeopathy boleh mengesan penyakit menerusi mata.

Dia juga dikatakan boleh mengubat penyakit menggunakan cawan-cawan kecil daripada batu marmar Makkah. Kononnya mereka yang meminum air dalam cawan itu akan hilang segala penyakitnya.

Selain di Negeri Sembilan, dia juga dikatakan dikesan datang ke beberapa buah sekolah sekitar Perak.

Sementara itu, dalam WhatsApp yang disebarkan semalam, individu terbabit dikatakan menggunakan jin sebelum memukau mangsa dengan menjual batu dalam gelas sehingga guru ditipu ratusan ringgit.


Fakta

Pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya, di sini menafikan seorang guru sekolah berkenaan diperdaya seorang individu yang mengaku doktor homeopathy berbangsa Arab, kononnya boleh mengesan penyakit melalui anak mata.

Menurut sumber sekolah, tiada seorang pun guru sekolah berkenaan dipukau sepertimana dakwaan yang kini menjadi viral di laman sosial.

Sumber yang enggan namanya disiarkan bagaimanapun mengesahkan individu terbabit ada datang ke sekolah berkenaan untuk menjual cawan-cawan kecil diperbuat daripada batu marmar dari Makkah kepada guru-guru, Selasa lalu.

“Saya tidak nafikan dia ada datang ke sekolah ini berdasarkan makluman diterima guru-guru. Difahamkan, dia juga singgah di beberapa buah sekolah lain.

"Saya tak tahu kenapa nama sekolah ini yang menjadi sebutan di laman sosial, padahal tiada guru di sekolah ini yang jadi mangsa pukau individu itu," katanya.

Tinjauan ke sekolah berkenaan juga mendapati sistem keselamatan di sekolah berkenaan sentiasa dikawal dengan rapi, sekali gus menyukarkan orang luar masuk tanpa sebab.

Pengawal keselamatan di sekolah itu berkata, setiap kemasukan orang awam ke sekolah perlu mengikut prosedur dengan mengisi borang disediakan.

"Mengenai kedatangan individu berbangsa Arab itu, kita tidak sedar kedatangannya. Mungkin individu itu mengambil peluang masuk ke dalam sekolah dengan menaiki kereta pada waktu puncak. Tak sangka isu ini semakin heboh diperkatakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak sekolah kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal bagi menyiasat perkara itu lebih lanjut.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Kalsom Khalid berkata, pihak sekolah tidak dibenarkan memberi keizinan kepada sesiapa sahaja membuat sebarang promosi dan jualan di dalam kawasan sekolah.

“Kalau ada, ia mestilah melalui jabatan. Kita  memberi peringatan kepada pihak sekolah mengenai makluman tentang pematuhan prosedur supaya perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.

Beliau sudah mengingatkan pengetua dan guru besar sekolah supaya memperketat urusan keluar masuk orang awam di sekolah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kes berkenaan.

“Bukan sahaja guru, tetapi orang awam  perlu berhati-hati membuat urusan jual beli lebih-lebih lagi individu tidak dikenali," katanya.