GEORGETOWN - Sepuluh wakil rakyat BN hari ini bertindak memboikot sesi penggulungan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh pada Sidang Dun di sini.
  
Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid berkata, tindakan kesemua Adun BN itu disebabkan rasa meluat dan tidak mahu lagi berkompromi dengan wakil rakyat yang tidak tahu menjaga etika dan peraturan dewan.
  
"Setakat ini kami hanya 'memboikot' Phee Boon Poh sahaja dan tidak mahu lagi terlibat serta melayan mana-mana wakil rakyat yang menyalahgunakan kemuliaan dewan untuk bercakap perkara-perkara yang tidak sepatutnya serta cuba mengelirukan rakyat.
  
"Kami hanya tidak masuk sesi penggulungan Phee pagi ini, tetapi selepas selesai sesi penggulungan oleh Phee, kami akan masuk semula," katanya kepada pemberita, di luar DUN di sini hari ini.
  
Beliau berkata Phee seolah-olah sengaja membangkitkan isu remeh-temeh antaranya mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung masalah ladang babi yang dibangkitkan wakil rakyat BN pada sesi perbahasan dengan mempersoalkan mengapa babi seolah-olah penyebab utama kepada wabak Ensefalitis Jepun (JE).
  
Sementara itu, Adun kawasan Bertam, Shariful Azhar Othman turut mengkritik etika wakil rakyat itu yang disifatkannya tidak wajar dilakukan oleh seorang wakil rakyat senior yang lebih arif dengan peraturan dewan.
  
"Datuk Speaker mahu semua wakil rakyat mengikut dan mematuhi peraturan Dun tetapi mengapa seorang wakil rakyat senior ini tidak berhati-hati ketika berada di dalam dewan. Kami wakil rakyat BN sedaya upaya menjaga diri agar tidak melanggar mana-mana peraturan DUN tetapi mengapa seolah-olah ada kelebihan untuk Phee Boon Poh," katanya.
  
Terdahulu, pada sesi penggulungan itu, RSN Rayer (DAP-Seri Delima) ketika mencelah bertanyakan kepada Phee sama ada tindakan wakil rakyat BN tidak hadir semasa sesi penggulungan itu adalah kerana takut.
  
Boon Poh kemudiannya berkata: "Kita fikir positif lebih baik daripada negatif. Bila saya gulung mereka tidak ada di dalam dewan, mungkin sebab saya jahat.

Mereka boleh tulis soalan kepada saya dan saya akan jawab. Pintu pejabat saya sentiasa terbuka, bila-bila masa boleh tanya". - Bernama