• Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pas terus akan kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) sekiranya hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan kes Liwat II dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, itu adalah komitmen daripada semua pihak (Pas, DAP, PKR) dan telah pun diperakui melalui konvensyen yang telah PR jalankan.

“Apa pun yang berlaku, kami akan terus kekal kerana PR akan memperjuangkan berkaitan soal keadilan, kestabilan negara dan apa sahaja yang berlaku.

“Pimpinan PR sebagai satu badan yang menggabungkan tiga parti ini akan tetap bergerak.

"Dulu pun Anwar dalam penjara, Barisan Alternatif (BA) tetap wujud, jadi tiada masalah...jadi isu untuk membubarkan PR tidak berbangkit kerana tanpa Anwar," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas mengenai nasib PR jika Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Rayuan Anwar masih berlangsung dan sehingga kini keputusannya masih belum diputuskan Mahkamah Persekutuan untuk keputusan.

Terdahulu, Anwar berkata sekiranya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dan tidak memihak kepadanya Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat tergempar.

Anwar berkata, mesyuarat itu bertujuan menentukan hala tuju pakatan pembangkang.    

 "Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ada mencadangkan pada hari yang andainya saya dijatuhkan hukuman, maka akan diadakan suatu mesyuarat tergempar untuk kita mara ke depan," kata Anwar
.