• Rugi RM25,650 diperdaya ah long Michael Chong bersama mangsa.
1 / 1
KUALA LUMPUR – Hanya dengan satu panggilan telefon untuk bertanyakan maklumat berhubung pinjaman kewangan, seorang kakitangan kerajaan kerugian RM25,650 apabila terpedaya dengan taktik licik ah long.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 50, berkata, dia membuat panggilan ke nombor yang terdapat pada iklan sebuah akhbar pada 30 Januari lalu.

“Saya dimaklumkan ejen peminjam wang itu akan menghubungi semula dan dalam tempoh 30 minit beberapa ejen menghubungi saya untuk menerangkan prosedur pinjaman wang,” katanya.

Menurutnya, terdapat empat ejen meminta butir-butir peribadi serta nombor akaun banknya untuk membuat pengesahan.

“Tiba-tiba salah seorang ejen memaklumkan dia telah memasukkan RM2,100 (ke dalam akaun saya) tanpa pengesahan saya. Dia meminta saya bayar semula pada 17 Februari," katanya.

Muhammad berkata, dia memasukkan RM3,500 (termasuk faedah sebagai bayaran balik) dalam akaun ejen itu dalam tempoh tersebut.

“Ejen itu mendakwa saya lewat membayar wang kepadanya dan dia kenakan denda RM1,500.

“Apabila saya tidak mampu membayar wang itu kepadanya, dia mengugut akan datang ke rumah saya,” katanya.

Muhammad berkata, dia turut terpedaya dengan tiga ah long lain yang guna modus operandi yang sama iaitu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya tanpa persetujuannya terlebih dahulu.

“Saya terpaksa membayar sejumlah wang kepada mereka. Saya juga meminjam wang rakan-rakan untuk membayar ah long itu  kerana faedah yang dikenakan tinggi,” katanya.

Dia membuat laporan di Balai Polis Klang kerana khuatir keselamatan diri dan keluarganya terancam.

“Saya segera menutup akaun setelah habis membayar pinjaman ah long itu dan terpaksa menukar nombor telefon bimbit kerana menerima panggilan daripada ah long setiap hari sehingga mengganggu tugasan hariannya,” katanya.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima laporan 22 kes berkaitan ah long sejak Januari lalu membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

“Saya menasihati orang awam berhati-hati terhadap iklan peminjam wang agar tidak mudah terpedaya,” katanya.