• Tun Dr Mahathir Mohamad Dr Mahathir melihat pameran mengenai peperangan yang diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Gagasan Baharu Dunia: Resipi untuk Peperangan atau Keamanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - Foto Bernama
1 / 1
PUTRAJAYA - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan 12 negara termasuk Malaysia adalah sebahagian daripada agenda kuasa besar dunia untuk memaksa negara lain menerima sistem ‘satu dunia, satu kerajaan’ yang diperjuangkan mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu, yang dinaungi Amerika Syarikat digunakan untuk menghasilkan gagasan baharu dunia dikenali sebagai New World Order, iaitu dunia tanpa sempadan yang ditadbir oleh satu kerajaan di bawah satu sistem yang sama, tanpa mengambil kira kedaulatan sesebuah negara.

“Hari ini, mereka cuba untuk laksanakan TPP. Ia bukannya ‘perkongsian’. Semua negara yang terlibat dalam perjanjian ini akan tertakluk di bawah lebih banyak peraturan daripada sebelum ini.

“Dalam kata lain, TPP bukan mengenai perdagangan bebas. Ia mengenai perdagangan yang tertakluk kepada semua jenis peraturan sehingga mendedahkan negara peserta terhadap risiko disaman di mahkamah antarabangsa yang ditubuhkan secara bersaingan oleh mereka (kuasa besar dunia),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama di Persidangan Antarabangsa Gagasan Baharu Dunia: Resipi untuk Peperangan atau Keamanan anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) di sini, semalam.

Dr Mahathir yang juga Presiden PGPF berkata, pelbagai peraturan dalam TPP akan membenarkan kuasa ekonomi besar dunia mendominasi sistem yang diguna pakai di bawah perjanjian itu.

“Kita dapat lihat percubaan dibuat untuk mengawal perdagangan antarabangsa dan ekonomi negara lain melalui apa yang kononnya digelar perdagangan bebas, menyebabkan ramai gagal menyedarinya,” katanya.

Menurutnya, gerakan untuk mewujudkan sistem dunia dengan satu kerajaan itu juga akan menjejaskan pegangan moral dan agama apabila semua negara perlu mematuhi nilai moral ditetapkan kuasa besar dunia, termasuk kebebasan bersuara tanpa had serta hak perkahwinan homoseksual.

“Ini semua bertentangan dengan nilai kita tetapi kita dipaksa menerimanya, kerana mereka (kuasa besar dunia) ingin menubuhkan satu sistem tunggal.

“Contohnya apa yang berlaku kepada majalah di Perancis, Charlie Hebdo. Atas nama kebebasan bersuara, mereka dibenarkan menghina orang lain. Jika ini dibenarkan, kita tidak akan menikmati keamanan,” tegasnya.

Dalam persidangan itu, Dr Mahathir turut melancarkan buku bertajuk The Globalization of War tulisan Dr Michel Chossudovsky, pengasas Pusat Kajian Globalisasi yang juga profesor ekonomi di Universiti Ottawa, Kanada.