• Hudud Pas
1 / 1
KUALA LUMPUR - PKR hari ini melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan Pas Kelantan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dan ia telah diluluskan pada sidang Dun Kelantan, hari ini.
 
Menurut kenyataan bersama pimpinan tertinggi PKR, kedegilan Pas Kelantan itu jelas tidak menghormati persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu.
 
"Tindakan mereka sekali gus bertentangan dengan muafakat bersama yang dicapai pada 2011 mengenai perkara ini.
 
"Sedang PKR menghormati hak dan pendirian kerajaan Kelantan untuk membentangkan enakmen ini, adalah lebih afdal jika kerajaan Kelantan juga menghormati persetujuan yang dibuatnya sebelum ini di peringkat PR," kata kenyataan itu, hari ini.
 
Kenyataan bersama itu melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali; tiga Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin dan Rafizi Ramli; Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.
 
Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 diluluskan dalam Sidang Dun Kelantan, kira-kira jam 12 tengah hari, di Kota Bharu Kelantan, hari ini.
 
Kesemua 44 Adun termasuk seorang dari PKR serta 12 wakil pembangkang dari BN menyokong penuh pindaan undang-undang jenayah syariah hudud, qisas dan takzir tersebut.
 
Enakmen itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan disokong oleh timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pada sidang Dun Kelatan, pagi semalam.
 
Menurut kenyataan itu, mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu, wakil Kerajaan Negeri Kelantan Mohd Amar memaklumkan bahawa rang undang-undang yang bakal dibentangkan hanyalah pindaan empat perkara ke atas enakmen yang telah diluluskan dalam 1993.
 
Walau bagaimanapun, PKR tidak diberikan draf pindaan sehinggalah minggu lepas iaitu pada 12 Mac 2015 (seminggu sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri).
 
"Draf yang dibentangkan itu bukanlah pindaan empat perkara seperti yang dimaklumkan oleh Mohd Amar tetapi merupakan pembentangan keseluruhan enakmen setebal 34 muka surat.
 
"Walaupun kandungannya tidak banyak berbeza dari enakmen asal 1993, ia tidak lagi mematuhi muafakat bersama yang dipersetujui oleh PR pada 2011 mengenai pelaksanaan hudud," kata kenyataan itu lagi.