• Mohd Zaki Ismail Mohd Zaki Ismail
1 / 1
ALOR SETAR – Majlis Ulama Muda Parlimen Baling (Maulana) mencadangkan hukum hudud turut dilaksanakan di Kedah berikutan persetujuan semua Adun Pas dan BN di Kelantan.

Presidennya, Mohd Zaki Ismail berkata, Kedah wajar mencontohi perkara itu sebagai usaha melaksanakan hukum ALLAH.

“Sekiranya konsep dan tata cara yang digunakan di Kelantan itu baik, maka Kedah wajar mencontohinya dengan melakukan pindaan secara berperingkat terhadap enakmen berkaitan.

“Kita tidak perlu takut sebab Kedah mempunyai ramai guru agama dan golongan ulama yang boleh dijadikan rujukan dan panduan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan cadangan itu kerana enakmen berkenaan sedang diusahakan secara bersama di Kelantan.

“Kita laksanakan hudud bukan untuk menghukum atau menzalimi sesiapa tetapi untuk kebaikan bersama semua masyarakat.

“Sebagai contoh Brunei juga melaksanakan hudud. Apa yang penting ialah kita berusaha melaksanakan hukum ALLAH,” katanya.

Meskipun begitu, beliau mencadangkan supaya pelaksanaan itu mengambil tempoh selama lima tahun untuk memberi penerangan kepada rakyat terlebih dahulu.

“Kedah perlu mengambil masa untuk memberi penerangan dan meyakinkan masyarakat mengenai pelaksanaan itu.

“Pada masa sama, enakmen berkenaan perlu dirangka secara berperingkat dengan mengambil kira apa yang dirangka di Kelantan dan Brunei,” katanya.

Kesemua 21 Adun BN hari ini sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang dibentangkan dalam Sidang Dun Kelantan.