Rasuah: Pegawai TLDM direman lima hari
IPOH - Seorang lagi pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di
Lumut berpangkat Leftenan Komander ditahan reman lima hari bermula hari
ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
Majistret Suhaima Mohd Noor membenarkan suspek yang berumur 39 tahun
itu direman sehingga Isnin depan selepas menerima permohonan pihak
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Difahamkan, lelaki berkenaan adalah suami kepada seorang daripada
pegawai TLDM berpangkat Leftenan Komander yang ditahan reman Selasa
lepas.
Selasa lepas, 14 individu, termasuk lima pegawai dan anggota TLDM di
Lumut, ditahan reman sehingga 16 Mac, mengikut Seksyen 17 Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
[ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah: Lima anggota TLDM antara direman]
Lima penjawat awam itu, termasuk seorang wanita, disiasat mengikut
Seksyen 17(a) akta SPRM kerana disyaki menerima suapan sebagai upah atau
dorongan untuk mengambil tindakan atau tidak mengambil tindakan, yang
berkaitan dengan tugas rasmi mereka.
Sembilan orang awam, termasuk seorang wanita, pula disiasat mengikut Seksyen 17(b) akta SPRM kerana disyaki memberi suapan.
Menurut jurucakap SPRM, antara sebab pihaknya menahan kesemua suspek
yang dipercayai saling mengenali antara satu sama lain itu ialah selepas
menerima aduan berhubung gaya hidup mewah mereka. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment