• Dr Fathul Bari Mat Jahya Fathul Bari
1 / 1
SHAH ALAM - Satu suruhanjaya bebas di bawah Majlis Raja-Raja perlu ditubuhkan bagi membincangkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (Ilmu), Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, suruhanjaya itu penting bagi mengelak isu hudud terus dipolitikkan oleh pemimpin parti demi kepentingan masing-masing.

“Hudud adalah isu agama, tetapi sekarang panas apabila ia dipolitikkan. Oleh itu, apabila ada satu suruhanjaya khas untuk membincangkan isu tersebut, semua pihak akan akur dengan keputusan yang akan dibuat.

“Suruhanjaya itu pula mestilah dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan seperti pakar perubatan, perundangan dan agensi pelaksana,” katanya.

Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, ahli politik seharusnya tidak dilibatkan dalam suruhanjaya itu bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat tidak diragui.

“Panggil pakar perubatan, macam mana nak potong. Panggil pakar perlembagaan, bagaimana kita nak buat (laksanakan). Dan nanti segala keputusan dibuat perlu akur sama ada boleh dilaksana sekarang atau sebaliknya.

“Saya minta (Majlis) Raja-Raja bincangkan (isu ini), panggil juga pemimpin bukan Islam untuk dengar penerangan daripada suruhanjaya tersebut, tetapi jangan beri mereka (bukan Islam) bercakap (kerana mereka tidak memahami dan tidak ada ilmu mengenainya),” katanya.

Menurutnya, satu jawatankuasa mengenai jenayah syariah pernah dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) tahun lalu yang membincangkan mengenai isu hudud.

“Mana jawatankuasa itu? Bercakaplah sebab itu tugas mereka. Mungkin mereka sedang melakukan kajian lagi. Tetapi saya minta mereka kemas kini cara kerja mereka ketika isu ini semakin hangat.


“Sepatutnya mereka yang perlu bercakap dan semua ahli politik perlu diam. Dan sepatutnya mereka juga yang perlu tekankan untuk satu suruhanjaya khas ini ditubuhkan agar tidak akan ada lagi pihak cuba mempermainkan isu agama ini,” katanya.