• Azmin Ali Azmin Ali
1 / 1
KUALA LANGAT -  Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan akan berlaku perpecahan melibatkan ketiga-ketiga gabungan dalam PR disebabkan isu hudud.

Menurutnya, PKR bukan menentang hudud, tetapi berpendapat mekanisme yang dibawa oleh Pas itu tidak menghormati prinsip dan semangat PR.

“PKR bukanlah mahu berpecah dengan Pas tetapi bantah sebab Pas tidak hormat kepada kesepakatan sebelum ini.
“Tapi saya yakin perkara ini boleh diselesaikan tidak lama lagi dan beberapa cadangan perlu diambil kira,” katanya ketika diminta mengulas keputusan PKR yang tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian yang diusulkan Pas di Dewan Rakyat bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pelancaran dan Pendaftaran Rumah Selangorku di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, semalam.

Mohamed Azmin turut menafikan DAP akan meninggalkan gabungan parti pembangkang itu kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Tidak berpecah, kami setuju untuk tidak bersetuju. Saya yakin dengan kebijaksanaan pimpinan mengukuhkan dan memantapkan PR.

“Kalau ada pun perbezaan, boleh kita bincang dengan baik demi kepentingan rakyat. Itu harapan saya,” katanya.