• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 / 1
GEORGETOWN - Pemimpin DAP kesal dan kecewa dengan pemimpin Pas di Kelantan serta beberapa pemimpin yang pro Umno kerana membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada sidang Dun Kelantan tiga hari lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pemimpin DAP amat marah kerana merasa dikhianati oleh pemimpin Pas di Kelantan kerana 'mempercayai Umno' untuk melaksanakan hudud di negeri itu.

Beliau berkata, kumpulan itu sepatutnya bersama PR namun berlaku sebaliknya apabila mereka sanggup mengkhianati dan menipu rakan lain semata-mata mempercayai Umno.

Menurutnya, kemarahan DAP hanya kepada segelintir pemimpin Pas dan bukan keseluruhan ahli yang secara umumnya berprinsip dan jujur.

"DAP berpendirian tegas dalam menentang pelaksanaan hukum itu kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas menggariskan bahawa walaupun Islam adalah agama rasmi di Malaysia, namun Malaysia bukan sebuah negara Islam.

"Mahkamah tertinggi, Mahkamah Agung pada tahun 1988 dalam kes Che Omar Che Soh menentang pendakwa raya, menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata isu itu bukan semata-mata mengenai undang-undang hudud yang ditentang DAP selama ini sebaliknya lebih kepada kepercayaan dan kejujuran dari beberapa pemimpin Pas dan kebolehpercayaan janji mereka.

"Persoalan sekarang adakah DAP masih boleh meneruskan kerjasama dengan beberapa pemimpin Pas berlandaskan platform nasional PR sedangkan janji dan kata-kata mereka tidak mempunyai nilai dan tidak berbeza dengan Umno.

Menurutnya, pemimpin Pas sudah terjatuh ke dalam perangkap Umno untuk mengkhianati PR dengan meluluskan undang-undang hudud di Dun Kelantan.

"Pas mungkin sudah memusnahkan prospek pilihan raya di Kelantan sekali gus merealisasikan impian Umno untuk memusnahkan PR," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) tergempar diadakan Khamis ini untuk membincangkan kedudukan Pas.

"Dalam semangat demokrasi, ia membolehkan pemimpin parti peringkat negeri dan kebangsaan menyatakan pandangan mereka mengenai perkara ini secara tertutup atau terbuka yang akan dibincangkan pada mesyuarat malam Isnin ini," katanya.

Guan Eng berkata, Pas Kelantan perlu bertanggungjawab terhadap nasib mereka di tangan pengundi Kelantan walaupun ia juga memberi kesan kepada PR secara keseluruhannya.

Beliau berkata, sokongan dari bukan Islam terhadap Pas sudah hilang sepenuhnya akibat tidnakan itu walaupun pemimpin Pas menyebut ia masih mempunyai tempat di hati orang bukan Islam.