• Dapsy P.Pinang beku kerjasama Pemuda Pas Wei Aik (empat, kanan) bersama ahli jawatankuasa Dapsy Pulau Pinang. - Foto Sinar Harian oleh GOKINA MORGANAN
1 / 1
GEORGETOWN - Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang mengambil pendirian yang sama dengan DAPSY Kebangsaan untuk membekukan segala hubungan kerjasama dengan Pemuda Pas Negeri berkuasa serta-merta.

Ketuanya, Ng Wei Aik berkata, ia adalah pendekatan terbaik bagi menunjukkan sikap DAP yang tidak dapat berkompromi dengan Kerajaan Kelantan yang membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) sebelum mendapat persetujuan dari PR.

"Saya bersama semua Dapsy Pulau Pinang turut disokong semua bahagian selaras dengan pendirian parti tidak dapat menyokong pelaksanaan hudud.

"Tindakan Pas Kelantan pasti akan menghakis keyakinan rakyat terhadap DAP secara khusus dan PR secara keseluruhannya,"katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ketika ditanya bentuk pembekuan kerjasama, Weik Aik berkata, Dapsy tidak akan mengadakan apa bentuk kerjasama, menghadiri sebarang program yang diaturkan Pas dan menghadiri sebarang mesyuarat dianjurkan Pemuda Pas atau Pas Negeri.

"Kita juga tidak akan menghadiri sebarang ceramah dan yang penting  tiada sebarang gerak kerja dengan Pas.

"Jika ada kempen pilihan raya di kawasan Permatang Pauh, Dapsy masih turun berkempen dan bekerjasama dengan Angkatan Muda Keadilan  (AMK). Dapsy tidak mempunyai isu dengan AMK dan hubungan kekal seperti biasa," katanya.

Menurutnya, DAP sering dituduh memperbodohkan pengundi untuk turut memberi sokongan kepada Pas dalam PRU13.