• Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
1 / 1
ALOR SETAR – Pakatan pembangkang diminta memberi ruang kepada Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
 
Presiden Pasma, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pelaksanaan hukum hudud merupakan perjuangan Pas sejak sekian lama, maka parti itu perlu diberi peluang berbuat demikian.
 
“Pas tiada pilihan selain melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana ia merupakan antara perjuangan utama Pas.
 
“Bagaimanapun, Pas Kelantan perlu beri penerangan kepada rakan komponen PR mengenai pelaksanaan itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Menurutnya, Pas tiada masalah untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana ia merupakan urusan kerajaan negeri.
 
“Kita perlu bagi ruang kepada Pas untuk gunakan hak demokrasi dalam melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
 
“Tapi saya sedih sebab pelaksanaan itu tidak dapat persetujuan bersama antara Pas Kelantan dan DAP yang mungkin boleh menyebabkan PR berpecah,” katanya.
 
Phahrolrazi berkata, bagi menyelamatkan situasi tegang itu, Pas Kelantan perlu membentangkan enakmen tersebut menerusi Majlis Pimpinan PR.
 
Pemimpin DAP sebelum ini menentang keras pelaksanaan hukum hudud kerana mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
 
Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dalam persidangan Dun Kelantan yang menyentuh mengenai  hukum hudud, qisas dan ta’zir.
 
Beliau berkata, rang undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukalaf iaitu sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya.