• Tengku Razaleigh Hamzah Tengku Razaleigh Hamzah
1 / 1
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah yang juga ahli Umno boleh mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah dihadapi negara yang dibangkitkannya dalam Dewan Rakyat, kelmarin.
 
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, Tengku Razaleigh boleh memulakan langkah menubuhkan kaukus Parlimen untuk memantau hutang negara.
 
"Beliau boleh mempengerusikan kaukus ini dengan menjemput Ahli Parlimen daripada parti yang berbeza untuk menganggotainya.
 
"(Beliau juga boleh) membentuk kelompok ahli Parlimen yang berani bertindak mengatasi ketaatan kepada parti demi negara, seperti yang dikatakannya dengan membawa usul menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah dikritik oleh beliau," katanya dalam satu kenyataan.
 
Tengku Razaleigh dalam ucapannya di Dewan Rakyat, kelmarin meminta kerajaan menjelaskan dengan telus kedudukan hutang negara dan mencadangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ditangguhkan kerana keadaan ekonomi serta kewangan awam berada di tahap kritikal.
 
Beliau berkata, kuasa Dewan Rakyat kini beranjak kepada kepimpinan parti politik, sesuatu yang merupakan perkembangan di luar Perlembagaan.
 
"Anjakan kuasa kepada orang perseorangan ini bertentangan peruntukan Perlembagaan. Dan, pastilah ia bukannya demokrasi berperlembagaan.
 
"Yang demikian, ahli (Parlimen) sekalian seharusnya membuat keputusan sama ada hendak memenuhi ikrar yang dibuat ketika mula-mula menjadi ahli dewan yang mulia ini atau pun melepaskan saja hak sebagai ahli (Parlimen) kepada kuasa di luar Dewan Rakyat," kata Tengku Razaleigh.