• Yoo Wei How
1 / 1
KUALA LUMPUR - MCA membidas DAP kerana gagal menghalang kerajaan Kelantan pimpinan Pas daripada membentang dan meluluskan pindaan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud.

Setiausaha Penganjur MCA, Senator Datuk Yoo Wei How berkata, DAP telah menutup mata terhadap tindakan Pas dan tidak mengambil apa-apa langkah untuk menghalangnya.
"Pas dengan jelas mengambil kesempatan daripada ketidakupayaan dan kelemahan DAP untuk melakukan apa sahaja yang ia mahu lakukan, walaupun ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan hasrat rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Wanita MCA mengutuk sikap Pas yang terus berkeras untuk melaksanakan hudud kerana percaya tindakan itu akan melenyapkan kepelbagaian  budaya di Malaysia.
Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie berkata, langkah Dewan Undangan Negeri meluluskan pindaan itu adalah satu trend berbahaya yang akhirnya akan mengubah sepenuhnya sistem perundangan sekular.   

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong pula melahirkan rasa kecewa terhadap pindaan rang undang-undang itu.

Siew Keong menegaskan bahawa Gerakan selama ini berpegang teguh dan konsisten dengan pendirian parti yang bertegas bahawa hudud adalah tidak berperlembagaan dan tidak praktikal dalam masyarakat Malaysia. - Bernama