• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 / 1
KUALA LUMPUR  -  DAP mencadangkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk mengalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu digantikan oleh pemimpin yang layak daripada PKR.

Menurutnya, dalam mesyuarat yang diadakan 37 Ahli Parlimen DAP, semua sepakat memilih Nurul Izzah.

"Kita tetap menyokong Anwar kerana beliau masih Ahli Parlimen Permatang Pauh.

"Oleh kerana beliau tidak dapat hadir ke Parlimen, kita berpandangan anaknya layak menggantikan beliau," katanya kepada media semalam.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, DAP turut kesal dengan keputusan reman tiga hari ke atas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung siasatan perhimpunan #KitaLawan, Sabtu lalu.

Menurutnya, keputusan itu sesuatu yang tidak munasabah dan merupakan satu penganiayaan kerana Exco Selangor itu bukanlah seorang yang berbahaya.

Guan Eng berkata, pihak berkuasa sepatutnya hanya perlu melakukan soal siasat tanpa perlu menahan Nik Nazmi.

“Selepas Nik Nazmi, kemungkinan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong akan menjadi sasaran polis kerana beliau turut sama ketika perhimpunan itu,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga berkata, sejak enam bulan kebelakangan ini, sebanyak 16 pemimpin DAP telah disoal siasat oleh polis, yang mana lima daripadanya telah didakwa di mahkamah.