• Ariffin Deraman Ariffin Deraman
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Kumpulan yang didakwa cuba menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan mewakili golongan profesional dalam parti itu, sebaliknya beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan ulama.
 
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Terengganu, Ariffin Deraman menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa golongan profesional dalam parti itu menolak kepimpinan ulama, sebaliknya menegaskan masih ramai yang menyokong Abdul Hadi.
 
Menurutnya, ia hanya melibatkan ‘kerja’ daripada satu kumpulan yang tidak selesa dengan Abdul Hadi dan salah faham timbul kerana kumpulan terbabit kebanyakannya didakwa terdiri daripada golongan profesional.
 
“Tidak timbul golongan profesional tidak sokong ulama kerana ramai yang mengakui masih bersama dengan ulama. Saya sendiri pun daripada profesional, tetapi tiada masalah. Ia bukan melibatkan keseluruhan profesional.
 
“Kalau dilihat pesuruhjaya Pas negeri-negeri, ramai yang bukan ulama, tetapi sokong Tok Guru (Abdul Hadi). Sebagai contoh, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Ir Iskandar Samad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria. Begitu juga di Terengganu, ramai profesional yang sokong kepimpinan ulama,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pemisahan terhadap golongan profesional yang dikatakan berlaku dalam Pas sehingga menyebabkan mereka menentang kepimpinan ulama.
 
Krisis terhadap kepimpinan Pas turut ditunjukkan melalui pendedahan Pemuda Pas Kuantan berhubung dakwaan beberapa pemimpin yang mempunyai jawatan di peringkat jawatankuasa Pas Pusat, untuk menjatuhkan Abdul Hadi.
 
Bagaimanapun, Ariffin menjelaskan, ia berlaku dalam kalangan mereka yang tidak berpuas hati dengan Abdul Hadi.
 
Pada masa sama, beliau harap kemelut yang berlaku itu tidak akan memecahbelahkan Pas, sebaliknya mewujudkan ikatan lebih kuat selepas Muktamar Tahunan Pas, Jun depan.
 
“Ia umpama cawan yang ada air, kalau kita kacau air itu, kocakan sedikit kuat tetapi tidak sampai memecahkan cawan. Muktamar adalah tempat untuk satukan ahli kita. Selepas muktamar, kita harap keadaan lebih baik,” katanya.