• PRK Dun Chempaka
1 / 1
KUALA LUMPUR - Umno memecat keanggotaan Sharif Mahmood dan Fadzillah Hussin yang menjadi calon PRK Dun Chempaka, daripada parti itu berkuat kuasa serta merta.
     
Menurut Media Umno, pemecatan itu berikutan tindakan mereka bertanding sebagai calon bebas yang bertentangan dengan keputusan parti.
    
Surat pemecatan itu dikeluarkan ibu pejabat Umno hari ini yang ditandatangani Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 
    
"Pemecatan itu dibuat melalui Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan Umno," menurut Media Umno.
 
Shariff berdaftar sebagai anggota Umno cawangan Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar, Jeram Tekoh, Gua Musang, manakala Fadzillah adalah anggota Umno cawangan Kepala Batas, Tumpat.
    
Sharif, 59, dan Fadzillah, 55, yang masing-masing bertanding sebagai calon Bebas adalah antara lima calon yang akan bertanding dalam PRK itu.  
    
Calon lain adalah Ketua Urusan Ulama Pas Dun Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, bekas calon bebas PRK Dun Pengkalan Kubor, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, dan pesara Kementerian Kesihatan, Aslah Mamat, 64.
  
BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.
    
PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.
    
Pengundian akan berlangsung pada 22 Mac ini. - Bernama