• Prof Dr Azmi Hassan Prof Dr Azmi Hassan
1 / 1
SHAH ALAM - Tindakan parti komponen BN, Gerakan yang memfailkan satu saman pemula bagi memohon deklarasi pembatalan Kanun Jenayah Syariah II, hari ini, tidak sepatutnya berlaku.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Azmi Hassan berkata, parti itu sepatutnya mengambil sikap berkecuali selepas Umno menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hukum itu.

“Sepatutnya tindakan Gerakan (saman hudud) tidak berlaku. Umno telah menyatakan sokongan kepada hudud, Gerakan perlu mengambil sikap berkecuali tanpa menyaman.

“Ini menunjukkan bahawa dalam BN itu sendiri kucar-kacir. Tindakan itu memang tidak sepatutnya berlaku. Paling tidak...berkecuali,” katanya kepada Sinar Online.

Dalam saman itu, Gerakan memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bahawa Kanun Jenayah Syariah II adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) batal dan tidak sah juga kerana bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Antara alasannya, Dun Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Meskipun Gerakan bertindak jauh, beliau berpandangan ia tidak akan membawa kepada keluar dari barisan dan masih boleh dibincangkan.

Sementara Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat menyifatkan tindakan Gerakan tersebut biadab dan Umno perlu bertegas dalam hal tersebut.

“Tindakan itu jelas menunjukkan sikap biadab sesetengah pemuda bangsa lain terhadap kepimpinan Umno. Umno yang menunjangi BN jangan ambil mudah, perlu bersikap tegas.

“Kalau mereka (Gerakan) perlu keluar dari BN, saya rasa mereka perlu keluar kerana ia menjejaskan keharmonian dan perpaduan yang kita mahu bina,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairul berkata tindakan Gerakan tersebut bertentangan dengan pendirian Umno yang menunjangi BN.

“Itu sesuatu sikap yang bertentangan dengan semangat Umno yang menunjangi BN. Kalau Umno sudah menyokong hudud, semua pihak kena sokong. Parti komponen kena hormat hukum hudud,” katanya.

Katanya, sebagai parti yang diterajui umat Islam, Umno wajib menyokong pelaksanaan syariat ALLAH itu.