• Ahmad Yakob Ahmad Yakob
1 / 1
KOTA BHARU - Orang bukan Islam tidak perlu bimbang atau cuba menentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) kerana kanun itu hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini. 

Perkara itu merupakan antara beberapa pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada persidangan Dun Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini. 

"Berbanding sebelum ini (kanun itu) yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka," katanya.

Ahmad berkata rang undang-undang itu turut meminda Seksyen 15(2) Kanun Jenayah Syariah II dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri. 

Beliau berkata pindaan lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada  Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum  wujud.

Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia ada, katanya. 

Ahmad berkata kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh kesalahan  iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak) dan irtidad  (murtad). 

Sementara itu, semasa membahaskan usul rang undang-undang itu, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata beliau dan Umno menyokong pelaksanaan undang-undang hudud bukan kerana politik tetapi kerana ALLAH SWT. 

Beliau berkata orang bukan Islam tidak perlu mencampuri atau menentang pelaksanan hukum tersebut kerana ia tidak membabitkan orang bukan Islam. 

"Undang-undang ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, kenapa orang bukan Islam sibuk untuk menentang hukum ini," katanya. 

Dengan sokongan daripada kesemua 12 wakil rakyat BN dari Umno, rang undang-undang itu dilihat lebih mudah untuk diluluskan esok kerana Pas mempunyai 31  orang wakil rakyat dalam Dun berkenaan manakala PKR seorang.

Satu kerusi yang dimiliki Pas iaitu Dun Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lepas. 

Bagaimanapun Gerakan hari ini memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah  Syariah II 1993 itu. 

Saman pemula itu difailkan oleh tiga anggota parti berkenaan, iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie melalui Tetuan N. S. Leong dan S. T. Low  pada pukul 10 pagi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dan menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai defendan.

Dalam saman pemula tersebut, plaintif memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bagi perisytiharan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, DAP rakan Pas dalam pakatan pembangkang juga menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Kanun Jenayah Syariah II, yang juga dikenali sebagai hudud yang diluluskan pada 1993 tertangguh lebih 20 tahun dari segi pelaksanaan akibat kekangan perundangan. 

Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang  melanda Kelantan.

Sidang dewan bersambung esok. - Bernama