• Liow Tiong Lai Datuk Seri Liow Tiong Lai.
1 / 1
KUALA LUMPUR - MCA akan menyiasat aduan terhadap Datuk Kian Sit Har yang menyertai perhimpunan haram #KitaLawan dan tindakan disiplin akan diambil jika penasihat Wanita MCA Melaka itu didapati melanggar perlembagaan parti.
 
Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, setakat ini, MCA hanya menerima aduan lisan mengenai Kian dan parti akan mengambil tindakan jika aduan bertulis diterima daripada pihak akar umbi.
 
"Seseorang anggota seharusnya menjaga nama baik parti dengan mematuhi perlembagaan parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penganugerahan Khidmat Lama dan Penyumbang Yayasan Pendidikan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) di sini, hari ini.
 
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Kian yang bergambar bersama Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pada perhimpunan haram itu Sabtu lepas. 
 
Sebelum ini, Sit Har, 77, pernah menyertai beberapa perhimpunan haram anjuran pembangkang termasuk Bersih 3.0 dan Kempen AntiLynas pada 2012 serta pernah didakwa di Mahkamah Seksyen Melaka atas kesalahan itu. - Bernama