• Rosli Allani Abdul Kadir Dr Rosli Allani Abdul Kadir
1 / 1
KOTA BHARU – Pemuda Pas Kota Bharu berpandangan parti itu perlu kembali kepada semangat asal konsep kepimpinan ulama sebagaimana ia diperkenalkan dahulu dan menekankan muktamar sebagai syura tertinggi dalam parti.

Ketuanya, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata,  jika perwakilan mahukan apa sahaja jawatan parti ditandingi maka biarlah pertandingan ini berlaku secara sihat dan terbuka kerana bila demokrasi itu sihat, maka parti kita juga akan lebih kuat.

“Kami juga berpendirian, usaha mana-mana pihak untuk menandingi mana-mana jawatan parti yang halal di sisi perlembagaan parti perlulah dihormati dan tidak segera dilabelkan sebagai usaha untuk menggulingkan mana-mana pemimpin yang dikira sebagai kesalahan.

“Malah kami ingin melahirkan rasa dukacita ke atas kemelut yang berlaku di dalam Pas menjelang pemilihan kepimpinan parti Jun ini,

"Cara kita menangani kritikan memperlihatkan seolah-olah Pas adalah sebuah parti yang tertutup, mana-mana ahli yang menegur pimpinan dianggap telah melakukan kesalahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika kemelut Pas 1982 pernah mempertikaikan tindakan Datuk Asri melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Pas Kelantan dan cara pemilihan calon Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU ke-6).

Beliau berkata, Nik Aziz secara terbuka mengkritik Presiden Pas pada waktu itu, namun tiada tindakan yang diambil Datuk Asri terhadap Nik Aziz kerana sikap keterbukaan yang wujud dalam parti ketika itu.

“Begitulah juga dalam soal menggesa pimpinan parti mengundurkan diri di mana Nik Aziz secara terbuka telah menggesa Datuk Asri mengundurkan diri sebagai Presiden Pas dalam majalah Mingguan Bumi pada 23 Oktober 1982.

“Dalam konteks ini, apalah yang perlu dikecohkan dengan gesaan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundurkan diri yang dibuat oleh sesetengah ahli Pas sekarang?

"Apa lagi bila mandat kepimpinan Presiden Pas sekarang akan berakhir tahun ini, kerana sedangkan seruan serupa waktu mandat masih ada pada tahun 1982 dahulu pun tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada penyuaranya,” katanya.