• Abdul Hadi Awang Abdul Hadi Awang
1 / 1
KOTA KINABALU - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak mengetahui secara pasti golongan yang membuat protes terhadap calon PKR bagi PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
  
Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyan Pas Sabah di sini hari ini, beliau berkata mungkin golongan itu adalah pihak yang cuba membuat provokasi pada musim pilihan raya parlimen di kawasan berkenaan.
  
Ketika ditanya sebab beliau tidak turun berkempen di Permatang Pauh, Abdul Hadi berkata, beliau sibuk dengan program parti yang diatur lebih awal selain terpaksa berulang ke hospital untuk menerima rawatan.
  
Mengenai pendirian Pas Pusat berhubung anggota PR Sabah khususnya DAP yang menolak pembabitan Pas dalam PR Sabah, Abdul Hadi berkata, terpulanglah kepada PR negeri masing-masing untuk membuat keputusan namun Pas masih anggota PR Pusat.
  
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan Pas tetap dengan pendiriannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan berpegang kepada persetujuan dicapai di kalangan pemimpin-pemimpin PR sebelum ini yang memulangkan kepada parti masing-masing dalam soal pendirian parti yang berbeza.
  
Katanya Pas akan melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negara ini secara demokrasi dan Pas mengemukakan hukum hudud di Kelantan serta undang-undang jenayah syariah di Terengganu kerana parti itu menang besar dalam beberapa pilihan raya umum lalu di negeri berkenaan.