• PRK Permatang Pauh
1 / 1
PERMATANG PAUH - PKR menjangkakan hanya 68 peratus akan keluar mengundi dalam PRK Permatang Pauh esok.

Pengarah Strategik Pilihan Raya, Sim Tze Tzin berkata, tinjauan secara rawak menerusi telefon ke atas 1,000 respoden menunjukkan dapatan yang agak membimbangkan.

Beliau berkata, "jika ramai tidak keluar mengundi, ia mengundang ruang kepada pihak tertentu untuk membawa masuk pengundi hantu," katanya pada sidang media di Yayasan Aman semalam.

Ditanya, tahap kebimbangan kemungkinan kewujudan pengundi hantu di Permatang Pauh, beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, "ia amat membimbangkan kerana ada tanda pergerakan yang luar biasa khususnya bas dari luar yang banyak di Permatang Pauh tanpa tujuan."

"Daripada maklum balas peringkat bawahan memaklumkan kewujudan bas tidak dikenali. Bukan bas tempatan dan  gerak-geri pihak tertentu pada setiap malam selepas jam 10 malam.

"Difahamkan, kempen rumah ke rumah adalah sesuatu yang mencurigakan dan petanda yang tidak bagus. Kita meminta SPR membanteras apa-apa salah laku dalam masa sama minta bantuan jentera kita untuk memantau," katanya

Sehubungan itu, pengundi diminta keluar mengundi awal termasuk pengundi luar untuk mengelak sebarang masalah.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,820 pengundi berdaftar dengan 51 peratus daripadanya wanita.

PRK Permatang Pauh esok menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi Sabudin (BN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja oleh ahli parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkannya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.