• Ahmad Fadhli Shaari Ahmad Fadhli
1 / 1
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari hari ini, mengumumkan menolak pencalonan ke atasnya bagi jawatan Ketua Pemuda dan Naib Pemuda Pas dalam pemilihan Muktamar Tahunan Pemuda Pas Pusat, bulan depan.

Ahmad Fadhli berpendapat, belum tiba masanya untuk beliau menggalas amanah tersebut.

“Saya akan menunggu surat tawaran dari Jawatankuasa Pemilihan sebagaimana yang diumumkan, namun sebagai pengumuman awal, saya ingin menyatakan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Pemuda Pas Kawasan yang telah mencalonkan nama saya untuk kedua-dua jawatan ini dan saya amat-amat menghargainya.

“Bagaimanapun, dengan maaf, saya merasakan belum sampai masanya untuk saya memikul amanah berada di tempat tersebut buat masa sekarang.

Justeru, dengan rendah diri, saya mengisytiharkan untuk tidak bertanding kedua-dua jawatan ini bagi memberikan laluan kepada mereka yang lebih berkelayakan,” katanya melalui catatan terbaharu di laman Facebooknya, hari ini.

Pada sidang media di ibu Pejabat Pas hari ini, Asmuni mengumumkan senarai nama yang layak bertanding dalam pemilihan selepas menerima pencalonan daripada seluruh Pas kawasan.

Empat nama lain yang diumumkan layak bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda adalah Suhaizan Kaiat (penyandang), Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, Nik Abduh Nik Aziz dan Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Sementara ‎bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda, empat nama disenaraikan iaitu Muhammad Khalil (penyandang), Ir Khairil Nizam Khirudin, Raja Ahmad Iskandar dan Kamaruzaman Mohamad.

Manakala 12 nama disenarai untuk jawatan Naib Ketua Pemuda antaranya, Khairil Nizam, Syarhan Humaizi Abdul Halim, Muhammad Khalil, Ahmad Fadhli, Mohd Nasaie Ismail dan Ahmad Marzuk Shaary.

Menurut Asmuni, mana-mana calon yang dicalonkan untuk lebih daripada satu jawatan, boleh bertanding kesemua jawatan‎ tanpa ada had jumlah jawatan yang dipertandingkan.

Kesemua calon perlu mengemukakan jawapan kepada pihaknya melalui pos atau serahan tangan selewat-lewatnya 19 Mei dan cara serahan lain tidak akan dilayan.