• Umno ubah taktik pikat pengundi Rafizi pada sidang media, hari ini. - Foto Sinar Harian
1 / 1
PERMATANG PAUH - Umno dipercayai mengubah taktik kempen untuk meraih sokongan pengundi Permatang Pauh sejak akhir-akhir ini.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, aktiviti ceramah dan kempen biasa ditukar dengan kempen dari rumah ke rumah selepas jam 10 malam untuk bertemu secara terus dengan penduduk atau pengundi.

Beliau berkata, maklumat itu adalah hasil laporan dari petugas pilihan raya PKR di sekitar Permatang Pauh sendiri.

"Tampaknya Umno semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan pengundi hingga menggunakan cara seperti ini," katanya pada sidang media di Yayasan Aman, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, tindakan itu secara tidak langsung menimbulkan kesangsian berkaitan tujuan lawatan berkenaan.

"Mengapa lawatan dibuat pada waktu malam. Adakah Umno menggunakan waktu ini dengan memberi duit dan hadiah kepada pengundi.

"Kita berharap SPR dapat menjalankan siasatan mengenainya," katanya.