Pemerhati: Fikirlah rakyat sebelum naik kadar tol
SHAH ALAM - Meskipun kadar tol dinaikkan saban tahun dan lebuh raya
dilebarkan dari semasa ke semasa, namun masalah kesesakan jalan raya
tetap berlaku di negara ini.
Pemerhati politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, jika
penambahan lorong mampu membendung isu kesesakan, maka kenaikan kadar
tol itu masih boleh dianggap wajar.
“Contohnya sehari 1 juta kereta masuk ke KL dan dari situ hasilnya akan
dibina dan baiki jalan. Sekarang ini pertikaian yang timbul adalah,
walaupun jalan dilebarkan beberapa kali, kesesakan tetap berlaku.
“Jadi tindakan membesarkan jalan itu bukan satu alternatif sebenarnya
pun. Sebab apa yang saya lihat contohnya dari Senawang sampai ke Nilai
hingga ke Kuala Lumpur, walau kita buat 10 lorong sekalipun, jalan tetap
sesak teruk.
“Kadar tol tak sepatutnya dinaikkan hanya kerana syarikat itu mahu
membesarkan jalan sebab kalau mereka besarkan jalan dapat menyelesaikan
masalah, tak apa,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan
berkata kerajaan dijangka membayar sebanyak RM1.08 bilion dalam bentuk
pampasan kepada 23 syarikat konsesi membabitkan 30 lebuh raya seluruh
negara sekiranya tiada kenaikan kadar tol.
Sehubungan itu, Prof Ismail yang juga pensyarah di Universiti Teknologi
Mara (UiTM) berkata, dalam tempoh yang mendesak ini yang menyebabkan
kos sara hidup kian meningkat, kadar tol tidak boleh dinaikkan.
“Akhirnya beban itu perlu ditanggung pengguna. Rakyat sudah terbeban
dengan pelbagai kenaikan dan tol ini sentiasa naik, tidak pernah turun
pun. Kalau tol naik lagi, rakyat akan tertekan,” katanya.
Sementara itu, Prof Madya Dr Mohamad Fuad Othman berkata, jika kerajaan
bercadang untuk bersetuju menaikkan kadar tol, kerajaan perlu
menjelaskan sebab untuk berbuat demikian.
“Kereta dahulu katakanlah 100,000 sehari yang lalui lebuh raya, tapi
hakikat sekarang, kereta yang menggunakan lebuh raya sudah lebih bukan
100,000 lagi. Di situ kutipan tol bertambah.
Masalahnya kita tidak diberitahu melalui perjanjian konsesi ini bagaimana jadual-jadual pembayaran dan sebagainya.
“Oleh sebab sekarang rakyat sudah dibebani dengan GST (Cukai Barangan
dan Perkhidmatan). Masalah GST ini adalah kutipan cukai pada kadar
realiti maksudnya orang lihat hari-hari. Jika cukai pendapatan dan
cukai-cukai lain ini mungkin hujung tahun sahaja.
“Jadi, kerajaan kalau nak perkenalkan dasar baharu atau tambah kadar
sedia ada, kerajaan perlu terangkan pada rakyat kenapa perlu naikkan
kadar itu? Kerana rakyat sudah terbeban sangat sekarang ini,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr
Jeniri Amir pula mengingatkan bahawa dalam apa juga dasar yang mahu
dirancang atau dilaksanakan, kerajaan perlu mendahulukan kepentingan
rakyat bukan mana-mana pihak yang berkepentingan.
Malah beliau menyifatkan alasan menteri bahawa kerajaan terpaksa
membayar pampasan RM580 juta kepada syarikat konsesi ketika ini, jika
kadar tol tidak dinaikkan sebagai tidak boleh diterima.
“... bukan akhirnya merugikan rakyat tapi menguntungkan
syarikat-syarikat berkaitan yang kroni dan sebagainya. Kepentingan
rakyat harus diutamakan lebih-lebih lagi sekarang dalam keadaan kos
hidup meningkat dan harga barang semakin meningkat. Kalau tol dinaikkan
lagi atas apa jua alasan, saya fikir ini memberi kesan yang semakin
teruk kepada rakyat.
“Alasan itu alasan yang tidak boleh diterima. Pasti kerajaan dan
konsesi-konsesi berkenaan dapat berunding untuk menilai semula kadar tol
dan tempoh itu supaya ia tidak menyusahkan rakyat sekurang-kurangnya
dalam tempoh setahun dua ini, ketika kesan GST begitu dahsyat menimpa
rakyat.
“Hampir semua harga barang daripada sekecil-kecil sehingga
sebesar-besar barang harganya naik. Jadi, kalau naik lagi tol, kesan
limpahannya melibatkan kenaikan kos pengangkutan, harga barang juga akan
naik lagi. Sampai bila perkara ini akan berterusan?,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment