KLANG - Susulan tindakan Pas Terengganu memutuskan hubungan dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah‎, hari ini giliran semua peringkat Pemuda Pas Kuala Terengganu  pula menghentikan kerjasama  dengan  pemimpin tersebut.
Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu,  Mohd Azrin Mohd Aris berkata, pendirian tersebut dibuat setelah Kamarul Bahrin diisytiharkan secara rasmi sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baru Terengganu.
Pas Kuala Terengganu pada semalam mengumumkan mengambil keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan beliau lagi.
Perkara tersebut disampaikan oleh Setiausaha Pas Kawasan Kuala Terengganu Mohd Soud@Said@Mat Ali berkata, keputusan itu diambil setelah hasil mesyuarat Pas Kuala Terengganu semalam.

"Sebagaimana pendirian rasmi Pas Kawasan Kuala Terengganu terhadap  Kamarul Bahrin dan berlandaskan prinsip berjemaah, Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu (DPPKT) berdiri teguh menyokong pendirian Pas Kawasan Kuala Terengganu yang berpegang kepada pekeliling Pas Pusat berkaitan GHB (PAS/PA/2.01/15-17(8) bertarikh 29.7.2015) antaranya tidak lagi menggabungkan diri, bekerjasama, memberi apa-apa jua bantuan atau kemudahan dan sokongan kepada Raja Kamarul‎.
"Arahan ini terpakai kepada semua Pemuda Pas Kuala Terengganu di semua peringkat iaitu kawasan, Dun dan cawangan serta seluruh lajnah dan jabatan yang berada di bawah pentadbiran DPPK Kuala Terengganu," katanya menerusi sebuah kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kamarul Bahrin mengumumkan bahawa beliau sebagai Pengerusi Harapan Baru Terengganu dalam satu himpunan Harapan Baru pada 31 Julai 2014 di Jerteh, Terengganu
.