• Anthony Loke Anthony Loke
1 / 1
PUTRAJAYA - Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menegaskan, empat bekas Exco Pas Selangor yang dilabelkan sebagai pengkhianat oleh DAP bukannya pandangan peribadi sebaliknya adalah luahan hati dan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru-baru ini.

Anthony berkata, pendirian itu juga merupakan sentimen yang telah diluahkan ahli CEC yang tidak berpuas hati dengan tindakan empat bekas Exco tersebut yang menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kenyataan (Pas pengkhianat) itu datang dari pihak CEC yang telah diputuskan dalam mesyuarat CEC pada Isnin lalu (22 September).

"Saya ingin tegaskan kenyataan itu (Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng) bukan kenyataan peribadi beliau sahaja, tetapi kenyataan yang mewakili kepimpinan DAP, itu yang telah diluahkan dalam mesyuarat CEC," katanya kepada pemberita di lobi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), di sini, hari ini.

Semalam, Guan Eng menuduh empat anggota Exco Selangor dari Pas sebagai pengkhianat kerana mereka sebelum ini telah menyokong kepimpinan Abdul Khalid dalam krisis Menteri Besar Selangor.

Empat Exco Pas itu iaitu Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad; Adun Sabak Bernam, Sallehen Mukhyi; Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali dikatakan telah mengingkari prinsip solidariti dan demokrasi dalam PR.

Guan Eng juga berkata parti itu kesal atas kegagalan keempat-empat wakil Pas itu untuk bersama enam lagi Exco DAP dan PKR yang dikatakan dipecat secara tidak adil oleh Abdul Khalid.

Mengulas lanjut, Loke berharap pelantikan Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu dalam melaksanakan pentadbiran negeri dengan baik.

"Selepas ini tumpuan kita ialah supaya pentadbiran ini dapat dijalankan selicin yang mungkin.

"Cabaran yang seterusnya ialah pelantikan Exco, seterusnya kita harap anggota Exco dilantik itu akan menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya lagi.