• Parti PAS Parti PAS
1 / 1
SHAH ALAM – Jika sudah tiba masanya, Pas akan keluar daripada PR. Demikian reaksi Naib Ketua Pemuda Pas, Mohd Khairil Nizam Khiruddin ketika diminta mengulas kewajaran parti itu untuk terus berada dalam pakatan itu selepas pemimpinnya seolah-olah tidak lagi dihormati rakan komponennya.


Namun Khairil berpendapat, keputusan itu tidak mustahil tetapi bukan pada waktu sekarang.

“Biasalah bergabung ini ada orang degil dan tidak. Sejauh mana kesabaran kita dan saya yakin dan percaya, telah tiba masanya untuk kami keluar dari PR, kami akan keluar.



“Sejarah membuktikan, biasanya yang keluar dari PR ini bukan Pas, tetapi rakan sekutu. Kami tetap setia dan apa tindakan Pas sekalipun, memang semuanya berlandaskan perjanjian dalam PR atau mana-mana pertubuhan dalam gabungan yang kami laksanakan,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui, baru-baru ini.



Mengambil sikap positif, Khairil berkata, Pas sepatutnya bersabar dengan ‘kedegilan’ rakan-rakan sekutunya dalam PR.



“Biasanya yang buat...yang kita katakan, yang ‘degil’ ini pada pendapat saya adalah daripada rakan-rakan kita. Tapi itulah kesabaran. Pas sebagai parti yang lama sepatutnya sabarlah.



“Ketegasan kami ialah kalau perlu rasanya untuk kami keluar, kami akan keluar. Tapi sekarang ini bukan masanya. Kami tetap setia dengan PR dan Umno berhati-hati, kami berada di Putrajaya, insya-ALLAH,” katanya.



Sebelum ini, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad menuntut agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataannya yang mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berkebolehan menjadi Menteri Besar Selangor.



Abdul Hadi turut digesa menghormati keputusan pimpinan Pas Pusat dan Majlis Pimpinan PR.



Abdul Hadi ketika berucap pada majlis dialog di Rusila, Terengganu dilaporkan berkata, keengganan Pas menuruti kehendak PKR dan DAP mencalonkan Wan Azizah kerana Presiden PKR itu tidak layak memikul tugas sebagai menteri besar.



Abdul Hadi turut menegaskan, penolakan Pas terhadap Wan Azizah bukan disebabkan faktor gender tetapi isu kredibiliti yang ada pada beliau.



Manakala, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dilaporkan menyelar kenyataan Abdul Hadi ketika ucapan penggulungan yang tetap mempertahankan tindakan parti itu yang mencampuri urusan pelantikan calon menteri besar demi mematuhi titah Sultan yang merupakan penaung kepada agama Islam dan orang Melayu di negeri ini.



Pas menghantar tiga nama calon menteri besar kepada Sultan Selangor seperti yang dititahkan Baginda.