PKR tetap calonkan satu nama sahaja
SHAH ALAM - PKR yang bermesyuarat semalam berpegang teguh dengan
keputusan sebelum ini untuk menamakan seorang sahaja calon bagi jawatan
Menteri Besar Selangor.
Menerusi satu kenyataan pagi ini, parti itu mengesahkan hanya
mencalonkan nama Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
sebagai calon tunggal PKR.
"Majlis Pimpinan Pusat menegaskan sekali lagi keputusan yang telah
dibuat pada 21 Julai 2014 yang bersetuju sebulat suara mencalonkan Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor," tulis
kenyataan media itu yang memetik Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin
Nasution Ismail.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu lalu meminta
parti-parti dalam PR memberikan lebih dua nama supaya baginda boleh
membuat pilihan bagi mencari pengganti jawatan tersebut.
Tarikh akhir untuk PR mengutus senarai calon mereka kepada istana adalah hari ini.
Sebuah portal melaporkan, PKR dan DAP sudahpun menyerahkan nama calon
mereka semalam, sementara Pas dilaporkan bakal berbuat demikian hari
ini.
Memetik laporan tersebut, Ketua DAP Selangor, Tony Pua memaklumkan
parti itu juga hanya menghantar nama Wan Azizah bagi menggantikan Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sementara itu, Saifuddin dalam kenyatan media sama memaklumkan,
mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat juga menerima cadangan PKR Kelantan
untuk kekal bertanding di PRK Pengkalan Kubor.
"Cadangan ini akan dibincangkan oleh PKR dengan Pas dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan keputusannya," ujar beliau.
0 orang berkata:
Post a Comment