Isu MB Selangor
SHAH ALAM – Krisis perlembagaan tidak mungkin akan berlaku di Selangor meskipun kemelut pelantikan menteri besar baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat seperti kronik.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, ini kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa untuk melantik sesiapa yang baginda dapati layak menjadi menteri besar.

“Negara kita amat unik kerana mengamalkan demokrasi berperlembagaan dan sultan ada kuasa untuk menentukan siapa layak menjadi peneraju sesebuah negeri berdasarkan nama yang dicalonkan.

“Jadi tidak timbul kemungkinan akan berlaku krisis perlembagaan kerana calon menteri besar ditentukan sendiri oleh PR,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, Sultan Selangor juga  mempunyai budi bicara untuk menerima individu yang boleh diterima oleh semua majoriti ahli dewan selepas diusulkan kepada baginda.

“PR perlu mencadangkan nama calon menteri besar yang mendapat sokongan dari ahli dewan, tetapi harus mematuhi perundangan tubuh negeri itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noor mengakui sultan mempunyai kuasa yang lebih tinggi  dan itulah keistimewaan amalan demokrasi di negeri ini.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling, juga  menyuarakan pandangan yang sama.

Katanya, situasi yang berlaku di Selangor sebenarnya tiada kaitan dengan perlembagaan sebaliknya berkaitan dengan krisis dalaman PKR.


“Ini adalah perbuatan orang dalam PKR yang ingin mengacau bilaukan Selangor yang sudah dilihat mantap demi memenuhi kepentingan diri.

“Jadi dalam hal ini, kita harus memahamkan akar umbi kenapa perkara ini berlaku. Saya yakin perkara ini terjadi bukan disebabkan oleh Sultan Selangor, ataupun Abdul Khalid mahupun Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor (perlembagaan) tetapi disebabkan krisis dalam PKR sendiri,” katanya.

Tambahnya, PR perlu mencalonkan nama yang benar-benar layak kepada Sultan Selangor agar isu kerusi menteri besar dapat diselesaikan segera.