Khusrin: Kerja dengan Khalid tidak tertekan
SHAH ALAM - Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohammed
Khusrin Munawi berkata, sepanjang empat tahun beliau berkhidmat dengan
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tiada sebarang campur tangan
politik dalam urusan pentadbiran di negeri ini.
Beliau berkata Abdul Khalid, yang menjadi Menteri Besar dua penggal
berturut-turut sejak Mac 2008, memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk
melaksanakan segala dasar membabitkan negeri dan rakyat.
"Kita dalam barisan pentabiran negeri tidak pernah menghadapi sebarang
tekanan sewaktu Abdul Khalid berkhidmat dan bebas membuat keputusan
mengikut dasar yang telahpun dipersetujui," katanya ketika berucap di
majlis perpisahan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor di
Bangunan SUK hari ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani, ketika
dihubungi Bernama, mengesahkan Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali
menerima surat pelantikan sebagai Menteri Besar Selangor baharu
menggantikan Abdul Khalid.
Majlis mengangkat sumpah Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden
PKR, akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pukul 10 pagi esok.
Mohammed Khusrin juga berkata antara pencapaian terbesar Abdul Khalid
dalam pentadbirannya ialah mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor
dengan menstruktur semula industri air di negeri ini.
Dalam pada itu, sumber dari pejabat Menteri Besar Selangor berkata
Abdul Khalid tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah menteri besar
baharu esok sebab akan ke luar negara untuk bercuti. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment