Jangan terburu-buru sertai PRK
KOTA BHARU - Umno disarankan mengadakan mesyuarat dan berfikir lebih
panjang, sama ada mahu menyertai atau tidak PRK Dun Chempaka setelah
kematian bekas Adunnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Ketua Penerangan BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, cadangan
tersebut dibuat memandangkan di negeri ini masih banyak pemulihan
banjir dan penyatuan parti diperlukan pada masa ini.
“Kita ada kerja besar untuk membantu mangsa banjir dan buat pemulihan
terhadap 210,000 mangsa yang mengalami masalah kediaman mereka terjejas
banjir baru-baru ini.
“Pada saya, kerajaan negeri sudah tertubuh. Kalau ada pilihan raya, ia
tidak ubah apa-apa, ia tidak ubah struktur negeri dan tidak ubah
kekuatan negeri, lagipun ini kerusi (Dun Chempaka) memang turun-temurun
milik Pas,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kedai kecantikan yang baru
dibuka, D’ Ayuna Beauty Collection di kawasan Pasar Kok Lanas yang
dikendalikan di bawah program Empower Ecer, di sini.
[ARTIKEL BERKAITAN: BN tak perlu letak calon tanding Dun Chempaka]
Md Alwi berpendapat, beliau lebih cenderung menumpukan kerja membantu
rakyat dan memberikan peluang kepada Menteri Besar Kelantan yang baru,
Datuk Ahmad Yakob.
“Mengikut pandangan politik, menang atau tidak, apabila bertanding, ia
boleh menang atau kalah, tetapi berdasar keputusan lepas (di kawasan Dun
Chempaka), ia agak sukar.
“Apa yang penting sekarang ini, perlu fikir masalah rakyat, yang mana
kita ada lebih 2,500 rumah mangsa banjir perlu dibaiki atau yang hilang
rumah dan sebahagian besar mereka tiada tanah,” katanya.
Katanya, pertelagahan dalam politik sepatutnya tidak berbangkit
memandangkan ‘icon of conflict’ sudah tiada dan rakyat mahu titik
perpaduan bagi parti di Malaysia.
0 orang berkata:
Post a Comment