'Tak logik ada beras palsu bercampur plastik'
- Yen Seong (kanan) bersama Setiausaha Eksekutif Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff menunjukkan beras Super Tempatan 10 dan lima peratus hancur.
YAN - [ DIKEMASKINI] Pengilang beras tempatan,
Sukaramai menjadi mangsa apabila jenama beras berkenaan dikaitkan dengan
pengeluaran beras palsu di laman sosial, baru-baru ini.
Kilang yang terletak di Sedaka, di sini, mula beroperasi sejak 1960
menggunakan jenama cap kambing sebelum melakukan penjenamaan semula pada
2000 dengan jenama baharunya, Sukaramai.
Pengurus kilang berkenaan, Tan Yen Seong menyifatkan insiden penipuan
beras palsu itu sebagai berniat jahat terhadap industri beras tempatan.
“Seperti kebiasaan pada minggu pertama Ramadan, hasil jualan beras akan
sedikit menurun dan pihak pengilang terpaksa menurunkan harga beras
untuk meningkatkan semula jualan tersebut.
“Tetapi ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan
dengan melakukan sabotaj terhadap beberapa jenama beras tempatan,”
katanya semasa tinjauan Sinar Harian bersama Persatuan Pengguna Kedah
(Cake) ke kilang tersebut, kelmarin.
Menurutnya, susulan viral palsu tersebut, kilangnya turut didatangi
pihak berkuasa daripada beberapa agensi untuk melakukan pemeriksaan.
“Sebelum ini tiga pengilang beras tempatan dan satu di Sabah heboh di
laman sosial kononnya menghasilkan beras palsu bercampur plastik.
“Tidak lama kemudian, kita (Sukaramai) juga menerima nasib sama seperti
mereka yang mendakwa menghasilkan beras palsu,” katanya.
Pengilang beras yang dimiliki oleh Syarikat Dinxings (M) Sdn Bhd itu
menghasilkan 12 jenis beras termasuk bungkusan beras Super Tempatan
dengan 10 peratus hancur (ST10), lima peratus hancur (ST5) dan beras
wangi.
“Beras Sukaramai menggunakan hasil yang dibeli daripada petani sekitar Yan sebanyak 8,000 hingga 10,000 tan semusim padi.
“Kalau difikirkan balik, dakwaan beras palsu itu memang tidak relevan
dan tidak logik. Kos membeli satu tan plastik sahaja mencecah antara
RM3,000 hingga RM4,000. Sedangkan kos beras kita bagi setiap satu tan
baru bernilai RM2,000,” katanya.
Jelasnya, perbezaan kos tersebut adalah antara bukti pihaknya tidak
menggunakan plastik untuk dijadikan beras palsu seperti yang didakwa
pihak tertentu.
Tinjauan lebih dua jam di kilang itu turut diperlihatkan kaedah
penghasilan beras, pembersihan beras hingga pembungkusan untuk jualan.
Kilang yang mempunyai 70 pekerja dan 25 lori itu juga mampu menghasilkan lebih 80 tan bungkusan beras sehari.
“Usaha kami dalam soal kualiti terbukti apabila dianugerahkan Sijil
Halal pada 2006 dan Persijilan ISO9001-2008 pada 2010,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment