Waspada taktik alih perhatian dari isu sebenar
SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
menasihatkan rakyat agar sentiasa berwaspada dengan cubaan mengalihkan
perhatian daripada isu yang menjadi perdebatan mutakhir ini berkaitan
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, dakwaan pemalsuan e-mel melibatkan syarikat PetroSaudi
seperti yang dilaporkan media sebelum ini tidak dapat membersihkan nama
1MDB sepenuhnya.
“Rakyat dinasihatkan berhati-hati dengan agenda mengalihkan perhatian mereka daripada persoalan lebih penting melibatkan 1MDB.
“Kontroversi dakwaan pemalsuan e-mel yang melibatkan syarikat
PetroSaudi tidak dapat membersihkan 1MDB sepenuhnya dan melarikan 1MDB
daripada kemelut kewangan yang sedang dihadapinya,” katanya dalam satu
kenyataan.
Malah ujar Tuan Ibrahim, konspirasi melibatkan pemalsuan e-mel tersebut juga masih tidak terjawab.
“Mengapa Lembaga Tabung Haji (TH) perlu membeli tanah TRX secara tunai?
Mengapa TH menghadapi masalah untuk menjual semula tanah tersebut?
“Apa sebenarnya yang dilaburkan 1MDB di Kepulauan Cayman sehinggakan
‘duit’ yang sepatutnya dibawa balik kini hanya berada dalam bentuk
‘unit’ yang tidak diketahui usulnya di Singapura? Mengapa ada bank
antarabangsa yang menuntutnya membayar balik duit pinjaman lebih awal
sebelum habis tempoh?
“Mengapa kerajaan perlu menyediakan kredit ‘standby’ sebanyak RM950
juta untuk 1MDB? Apakah duit ini telah pun dihabiskan? Di mana duit 1MDB
dan mengapa 1MDB menghadapi masalah dalam membayar hutangnya?,”
soalnya.
Menurutnya lagi, semua persoalan tersebut akan dapat dijawab sekiranya
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti daripada tugasnya
sehingga siasatan selesai.
“Jika Najib enggan bercuti, Pas menjangkakan kebarangkalian
berulangnya tragedi seperti Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa yang
kini mendakwa Najib tidak meluluskan pembelian hartanah kontroversi di
Australia selepas 24 jam beliau mendakwa Najib yang meluluskannya,
adalah sangat tinggi.
“Najib patut bercuti memandangkan kedudukan beliau sebagai Presiden
Umno sudah selamat sehingga 2017 apabila pemilihan Umno ditangguhkan
untuk 18 bulan.
“Atau Najib bimbang akan langkah seterusnya yang bakal diambil Tan Sri
Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) yang pernah menyuarakan
bahawa beliau tidak bersetuju bahawa Putrajaya terlibat dengan kerja
menyelamatkan 1MDB, dan maka itu, beliau enggan bercuti sehingga
siasatan terhadap 1MDB dan Mara selesai?,” katanya.
Rabu lalu, 1MDB dilaporkan berkata, siasatan awal ke atas bekas
kakitangan PetroSaudi yang ditahan kerana cubaan peras ugut berkaitan
e-mel maklumat milik PetroSaudi menunjukkan sebahagian daripada e-mel
yang dibocorkan itu telah dipinda.
0 orang berkata:
Post a Comment