•  Azmin Ali Azmin Ali - Foto Sinar Harian
1 / 2
SHAH ALAM - Perbincangan pemimpin DAP Selangor dengan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini tentang kemelut hubungan antara parti itu dengan Pas dalam kerajaan negeri tidak mencapai sebarang keputusan.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata berikutan perjumpaan dengan Timbalan Presiden PKR selama hampir setengah jam itu, satu lagi perjumpaan akan diadakan selepas hari raya Aidilfitri.

Namun hasil daripada pertemuan itu, pihaknya kini lebih jelas mengenai kedudukan wakil-wakil daripada DAP, Pas dan PKR dalam pentadbiran kerajaan Selangor, katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada pemimpin DAP menyokong pentadbiran Mohamed Azmin, Pua berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Adun Bukit Antarabangsa itu.

"Isunya bukan sebab kedudukan Azmin sebagai menteri besar. Kita ada bincang mengenai kedudukan Pas untuk kekalkan Selangor kepada PR namun tiada keputusan dicapai," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin menafikan pentadbiran kerajaan Selangor dilanda kemelut seperti yang diuar-uarkan sebaliknya memberi jaminan akan terus membangunkan negeri ini.

Katanya pertemuan dengan DAP adalah perjumpaan berkala bagi membincangkan beberapa perkara dan menyifatkan ia berjalan dengan harmoni walaupun tidak mencapai sebarang keputusan.

Pada 16 Jun lepas, DAP mengisytiharkan PR yang terdiri daripada parti itu, PKR dan Pas tidak lagi wujud apabila Muktamar Pas baru-baru ini memutuskan hubungan dengan DAP dilihat 'membunuh' pakatan itu.

Namun, pada 21 Jun lepas, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  berkata kerjasama dan semangat dalam menjalin hubungan kerja antara ketiga-tiga parti itu masih diteruskan.

Pas pula menerusi Majlis Syuranya setakat ini dijangka memuktamadkan cadangan memutuskan hubungan dengan DAP selepas Aidilfitri nanti. - Bernama