• Md Shukri Shuib Md Shukri Shuib
1 / 1
ALOR SETAR - Pemimpin Pas yang tewas dalam muktamar tahunan baru-baru ini perlu istiqamah dengan perjuangan parti.
 
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib mencadangkan perkara itu susulan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kelihatan seolah-olah memberi amaran kepada mereka yang mahu menyertai parti baharu selepas tewas dalam pemilihan, baru-baru ini.
 
Beliau berkata, Pas tidak boleh hanya kelihatan berani apabila berhadapan dengan parti lawan dan sering menyalahkan parti lain tetapi perlu mendisiplinkan ahli serta pemimpin mereka sendiri.
 
“Kenyataan Abdul Hadi adalah gambaran supaya semua ahli dan pemimpin parti itu untuk terus dengan Pas.
 
“Ia perlu disusuli dengan tindakan tegas kepada pihak yang tidak menghormati saranan itu termasuk mereka yang berhasrat nak menubuhkan parti Islam baharu bagi menggantikan Pas dalam PR,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Menurutnya, jika tindakan tegas termasuk pemecatan tidak dilakukan, ia memberi gambaran bahawa kepimpinan Pas sedia ada hanya berani berceramah tanpa berani mengambil tindakan terhadap kepincangan yang dilakukan oleh pemimpin sendiri.
 
“Sebagai contoh, Presiden Pasma (Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi) sendiri adalah wakil rakyat yang bertanding pada beberapa pilihan raya umum menggunakan tiket Pas.
 
“Tetapi di manakah kedudukannya sekarang sama ada masih ahli atau sebaliknya kerana beliau pernah menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti baharu,” katanya.
 
Md Shukri berkata, kecurigaan kepada wakil rakyat dan pemimpin Pas perlu disiasat secara komprehensif sebagai lambang keutuhan parti itu.
 
“Kepimpinan Pas yang baharu juga perlu segera melakukan audit disiplin ahli, pemimpin dan wakil rakyat dari parti itu bagi memperkukuhkan Pas serta menghindari parasit.
 
“Pas tidak wajar berjuang seperti melantunkan hal-hal berkaitan parti lawan, sebaliknya perlu utamakan soal pembentukan semula ahli dan kepimpinan Pas,” katanya.
 
Menurutnya, insiden yang berlaku terhadap Pas adalah disebabkan kesan gelombang kebangkitan Pas untuk semua (Pas for all) yang menerima ramai keahlian baharu tanpa soal.
 
“Akhirnya parti itu menjadi ‘parti kawalan jauh’ oleh pihak luar menerusi eksport ideologi ke dalam Pas yang turut berjaya meresapi kepimpinan parti itu tanpa disedari,” katanya.
 
Abdul Hadi dalam satu surat terbuka pada 23 Jun lalu mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti itu bahawa sejarah Pas menunjukkan mereka yang keluar parti itu dan bersama parti baharu akan tenggelam.
 
Beliau berkata, setiap ahli Pas mesti bersama dengan jemaah yang diwujudkan atas prinsip dan matlamat berakidah teguh bersama konsep pendekatannya dan wajib istiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.
 
Surat terbuka itu seolah-olah memberi amaran kepada pemimpin Pas yang tewas pada pemilihan parti itu dan dikatakan ingin bersama parti baharu yang bakal ditubuhkan nanti.