• Datuk Seri Jamil Khir Baharom
1 / 1
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) perlu melakukan penilaian teliti berhubung penjualan tanah milik lembaga itu di Tun Razak Exchange (TRX), di sini berikutan potensi tanah tersebut yang bernilai tinggi.
  
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata,‎ penilaian turut dilakukan bagi memastikan keterlibatan umat Islam secara berkumpulan dalam pembangunan ekonomi tanah berkenaan selepas penjualan itu.
  
"Tabung Haji telah menerima tawaran pembelian dan masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan," katanya semasa menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Negara di sini hari ini.
  
Berkenaan cadangan beberapa pihak yang meminta Tabung Haji mengkaji semula cadangan penjualan semula tanah itu, Jamil Khir berkata keputusan muktamad mengenai cadangan itu akan dirujuk kembali kepada anggota lembaga pengarah Tabung Haji.
  
Beliau menegaskan, Tabung Haji sentiasa berusaha memastikan setiap pelaburan syarikat itu patuh Syariah dan memperoleh keuntungan kompetitif demi kepentingan pendeposit.
  
Dalam pada itu, Jamil Khir berkata Tabung Haji dianggar membelanjakan sejumlah RM370 juta bagi pengurusan operasi ibadah haji seramai 22,320 jemaah bagi tahun ini.
  
Katanya, Tabung Haji juga turut mengekalkan kos bayaran haji sebanyak RM9,980 selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2009 walaupun kos untuk menunaikan ibadat itu meningkat setiap tahun.
  
"Walaupun kos sebenar meningkat setiap tahun, di mana tahun ini kos sebenar yang sepatutnya ditanggung setiap jemaah ialah sebanyak RM17,270 tetapi perbezaan RM7,290 ditanggung oleh Tabung Haji," katanya.
  
Sementara itu, persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan usul RMK11 tanpa sebarang pindaan.
  
Usul itu yang mengandungi rancangan pembangunan lima tahun negara telah dibahaskan selama empat hari bermula 22 Jun lepas sebelum sesi penggulungan oleh kementerian berlangsung selama dua hari bermula semalam.
  
Usul RMK11, yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM260 bilion, merupakan langkah transformasi terakhir dalam menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas.
  
Persidangan Dewan bersambung esok. - Bernama