• Kamaruzaman Abdullah Kamaruzaman
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Perkembangan politik semasa dalam PR ketika ini mendorong segelintir anak-anak muda membangkitkan persoalan mengenai masa depan Pas dan PR.

Situasi itu bagaimanapun dilihat secara positif oleh Pemuda Pas Terengganu sambil menyifatkan ia bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan dan menggambarkan mereka sebenarnya berminat bersama-sama Pas.

Ketuanya, Kamaruzaman Abdullah berkata, bagi meleraikan persoalan itu, penerangan dilakukan untuk memastikan anak-anak muda memahami sebaik-baiknya isu yang berlaku, di samping mengelakkan mereka terpengaruh dengan pendapat tidak jelas.

“Isu (dalam PR) dapat perhatian oleh anak muda. Kita beri penerangan kepada mereka kerana ada yang tidak menyertai mana-mana cawangan atau organisasi Pas di peringkat negeri.

“Kadang-kadang mereka ini hanya mendapat maklumat daripada media sosial seperti Facebook dan twitter sahaja. Jadi, peranan kita untuk beritahu perkara ini dengan jelas,” katanya.

Beliau menyifatkan isu yang memperlihatkan pertembungan antara Pas dan DAP kebelakangan ini sebagai kocakan politik yang mampu mematangkan ahli dalam menghadapi cabaran politik pada masa akan datang.

Di samping itu katanya, krisis itu membawa pengajaran tersendiri kepada rakyat terutama berhubung sikap Pas yang tidak berganjak daripada prinsip perjuangan demi kepentingan politik semata-mata kerana Pas bukan hanya organisasi politik, malah sebuah gerakan dakwah.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan DAP bahawa PR sudah berkubur, Kamaruzaman memberitahu secara umumnya, ‘roh’ PR masih lagi wujud berdasarkan kepada dua daripada tiga parti masih kekal dalam pakatan tersebut.

Jelasnya, DAP tiada hak untuk mengisytiharkan PR berkubur atau menendang Pas keluar dari pakatan itu kerana kerjasama PR bukan wujud atas persetujuan satu parti sebaliknya persetujuan bersama tiga parti iaitu Pas, PKR dan DAP.

“PR tidak akan wujud hanya apabila ketiga-tiga parti bersetuju untuk tidak menjalinkan kerjasama antara satu sama lain. Tetapi kita sekarang ini beri kerjasama pada parti politik melalui tindakan yang tidak bercanggah dengan Islam,” katanya.